Pages

Sunday, November 23, 2008

ARNAB DAN KAMBING
BEREBUT KARUNG GUNI
Pada suatu pagi, arnab terjumpa
sebuah karung guni di tepi jalan.
Arnab terus menggigit untuk
membuka karung guni itu. Karung
guni itu penuh dengan sayur-sayuran.
Namun, sebelum sempat arnab
makan sayur-sayuran itu, tiba-tiba
datanglah kambing. Kambing mahu
makan sayur-sayuran itu.

“Marilah kita beradu siapa lebih
kuat. Jikalau sesiapa yang dapat
menumbangkan tiang di sana, ia
dapat makan semua sayur-sayuran
ini,” cadang arnab.
Kambing bersetuju. Mereka
segera pergi ke tempat tiang itu.
Tanpa membuang masa, kambing
terus berlari kencang. Kambing mahu
menumbangkan tiang itu.

Kambing terus menanduk tiang itu
dengan sekuat-kuat hatinya.
“Aduh! Aduh!” kambing
meraung-raung kesakitan. Kedua-dua
batang tanduknya patah.
Tibalah pula giliran arnab. Arnab
terus menggali.
“Aku pasti akan berjaya
menumbangkan tiang ini,” kata
arnab dalam hatinya.
Tiang itu bergoyang-goyang
hendak tumbang. Arnab sangat
gembira.

Tiang itu tumbang. Tetapi tiang itu
menimpa kaki arnab. Kaki arnab
patah.
“Aduh! Aduh!” arnab
meraung-raung kesakitan.
Arnab dan kambing berasa
menyesal kerana tidak mahu
berkongsi sayur-sayuran itu. Mereka
lalu pergi ke tempat karung guni itu
semula.
Tetapi mereka melihat, seorang
peladang sudah datang mengambil
karung guninya yang tercicir itu.
Peladang itu terus pergi dari situ.
Menyesallah arnab dan kambing
atas perbuatan tamak mereka itu.
Perbuatan tamak memang selalu
rugi.

No comments: